Sabtu, 29 Januari 2011

Telaga

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Dulu-dulu setahu aku ada 3 telaga kat kampung aku. Satu telaga Ah Chun, Telaga Tok Arof dan telaga madrasah. Di situlah orang kampung berkongsi mendapat air bersih selain sungai. Mana ada air paip lagi masa tu. Pertengahan tahun 60 an barulah kerajaan sediakan 2 atau 3 paip free. Satu kat madrasah, kat kedai Ah Chang dan kat rumah haji yaakup (tak pasti). Air akan dikandar dalam tin minyak tanah. Di musim kemarau telaga akan kering. Memangalah seronok dapat bermain berlari dalam keliling telaga yang kering tu. Telaga madrasah cukup besar. Bunga kelipok ada juga dalam telaga ini. Bila paip telah dipasang telaga madrasah ditimbus dengan sekam padi. Jadi tempat kami bermain bergulingan di situ. Lepas tu tapak telaga tu dijadikan gelanggang sepak takraw untuk remaja bermain.

Jumaat, 28 Januari 2011

Pak Ali Gila

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Pak Ali adalah seorang peminta sedekah. Masa dulu ada orang  minta sedekah dari kampung ke kampung. Pak Ali akan datang naik basikal. Dia akan bawa guni gandum. Orang dulu2 bagi sedekah dengan setin susu beras. Nak kata dia gila pun tak pasti jugak.Mungkin tu cara dia minta sedekah. Bila dia datang kami akan minta buku catatan dia. Dalam tu macam-macam orang tulis. Kami pun dibenarkan untuk tulis apa saja. Lain pada tu Pak Ali akan menyanyi atau menari bila disuruh. Kalau dia singgah rumah tok wan aku memang dia duk lama sebab tok wan aku rajin melayan dia. Masa tu peminta sedekah memanglah orang susah tapi sekarang susah nak percaya kerana ada sendiketla pulak

Khamis, 27 Januari 2011

Keluarga Cina

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Terdapat dua keluarga cina di kg. ini awal tahun 60an. Seorang nama Ah Chun dan sorang lagi Ah Chang.
Ah Chun tinggal di tengah padang dekat rumah tok wan aku. Dia usaha tanam sayur-sayuran. Memang banyak,. Rumah dia dekat sungai dan selalu aku nampak anak dia kandar air jurus sayur. Dia ada anak perempuan. Masa tu kat kampung aku ada dua paip air free yang disediakan kerajaan. Satu dekat madrasah dan satu lagi dekat rumah mak khir. Anak dara Ah Chun ni telah diusik oleh abang deen anak mak njang mah. Tak lama lepas tu abang deen sakit dan dipercayai dibuat bomoh siam oleh keluargaerut abang deen kembung besar dan pecah. Tak lama lepas tu abang deen meninggal. Tak lama lepas tu juga keluarga Ah chun berpindah dari kampung tu. Ah Chang buka kedai runcit. Aku lupa nama mak dia tapi bila2pun dia bila-bila pun pakai kain batik tatang di dada. eliknyaAda 2 anak lelaki dan satu perempuan. sebab dia puteh, ramailah gial kat dia.. Din yaakub mmg suka kacau dia. Teruk jugalah abg2 dia nak kawal dia.Mereka akhirnya pun pindah keluar juga. Peliknya kat kampung ni ada jirat cina dekat rumah tok wan aku. Penah aku tanya tok wan asal usulnya. tok wan pun tak tahu nak cerita. Sedar2 dah ada di situ.

Sabtu, 22 Januari 2011

Nira abah aku......

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak.
Kadang-kadang anak aku ajak singgah di tepi jalan beli nira nipah. sedap kata depa. Aku akan tanya taukah cara nipah tu dibuat. Aku memberitahu aku ada pengalaman tentang buat nira ni. Mereka pandang sesama mereka senyum. Mana nak percaya mana mereka pernah tengak aku buat pun. Aku cuma bantu abah aku. Masa tu nipah mana ada harga pun. Buat suka-suka untuk sendiri dan tetamu. Ada yang datang beli jual juga tapi kat rumah saja. mana ada pasaran tepi jalan masa tu.
Kebetulan rumah aku tepi pokok-pokok nipah. Aku lihat prosesnya agak rumit. Sebulan lebih abah aku akan memilih dahan-dahan yang mempunyai buah yang sesuai untuk diambil niranya. Dibersihkan sekeliling batangnya dengan membuang kulit-kulit. Batang tu akan dilumur dengan selut dan dilurutkan dengan tangan dan kaki selama sebulan lebih. Bila dah sedia untuk ditoreh, buah nipah dihujung akan dipotong. Batang buah akan diikat secara melengkong dari kulit batang pokok nipah yang memaut batang itu. Toke, buluh dijadikan tabung untuk menahan titisan nira dan ditudung dengan tempurung. Pagi akan dipungut. Malam adalah masa minum nira yang wangi dan segar. Kadang-kadang tetamu atau orang datang nak beli nira waktu malam, aku atau adik aku kenalah ambilkan.
Selepas kumpul nira segar paginya, toke kenalah cuci. Pertama dengan air bersih. Lepas tu dicuci dengan daun serai dengan cara masukkan daun serai yang diikat pada kayu. Sabun tidak digunakan..Toke akan diletaak atas para dan akan diasapkan menggunakan sekam. Kalau nak buat cuka, nira akan ditahan waktu siang.Nira waktu siang agak masam. Kalau nira banyak, kadang-kadang satu periuk besar, kami buat misan nira. Masak misan ambil masa lama. Perlu api yang garang. Buluh-buluh akan digunakan. Bila warna bertukar jadi merah barulah jadi misan. Tak perlu tambah apa-apa. Boleh juga buat coklet dipalut pada batang lidi. Misan sedap dimakan dengan kueh lopes. boleh juga tambah ganti gula untuk bubur kacang.dan macam-macam masakan kueh lain.Takda lagi orang buat nira nipah di kampung keriang pulau kini.

Bengkel Atap Hj. Yaakub.

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Ini yang aku rasa permulaan penceburan diri dalam IKS dulu. Hj. Yaakub memiliki satu bengkel yang dibuat memanjang untuk membuat atap. Masa tu bumbung semua guna atap nipah. Hj Yaakub dan anaknya Halim akan mengambil daun nipah dari beberapa kampung berdekatan menggunakan tongkang Tiada jawatan tetap di situ. Siapa pun boleh datang bekerja. Upah akan dibayar berdasarkan berapa banyak atap berjaya disemat. Alangkah indah cara dapat upah masa dulu. Tak kira lelaki atau perempuan boleh kerja kat situ. Ramainya perempuanlah. Di sinilah tempat berkumpul sambil upah. Di sini juga ruang gossip. Tapi harmonis tak dengar gaduh-gaduh pun. Di sini juga tempat merisik jodoh. Ramai anak gadis ada di situ. Cekal mereka menyemat atap berjam-jam duduk. Kaki mesti diluruskan bukannya boleh bersila atau duduk atas kerusi. Masih malaskah orang melayu dulu.

Bahasa Kerbau

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Kerbau mempunyai bahasa tersendiri. Orang melayu petani masa dulu menguasai bahasa kerbau untuk urusan pertanian. Kerbau akan ikut arahan mengikut bahasa yang digunakan. Orang kampung aku semua guna khidmat kerbau, tiada khidmat lembu. Di sini aku perturunkan sikit sebanyak bahasa kerbau yang aku tahu.
haih = jalan
chah, chah,chah-= jalan cepat-cepat
sok =  belok
diam =  jangan bergerak
tang = masuk ke dalam dua batang buluh yang diletak dengan anok
kok = maklumkan bahawa kayu bengkok akan diletak di atas tengkok dan dipaut dengan tayar basikal

Herankan di mana kerbau dan orang-orang dulu belajar bahasa ini.

Musim padi dulu-dulu part 2

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Tok wan aku mempunyai sawah yang agak luas. Masa tu padi akan diangkut oleh anok yang ditarik kerbau untuk dikumpul ditepi batas sebelum diangkut dengan basikal yang seterusnya dipunggut lori. Selain dijual sebahagian padi disimpan dalam jelapang. Jelapang tok wan aku ada dua bahagian. Satu untuk padi makan dan satu yang becil untuk padi pulut. Masa tu bila nak makan, padi akan dijemur sehingga betul-betul kering sebelum dihantar ke kilang. Tak susah cari orang antar padi ke kilang kerana kilang akan bayar upah kepada pembawa padi yang bawa ke kilang dia. Peralatan sawah masa tu termasuklah anok, sisir, tenggala, pengangin yang dibuat macam tong, pengayak padi yang dipaut pada 3 batang tiang. Perlu cari kawasan lapang yang banyak laluan angin. Lepas tu baru ada pengangin yang dibuat dari besi dan dikayuh. Tok wan aku akan ke sawah sepagian menggala sawah. Ambil masa cukup lama sesuatu bidang sawah yang ditenggala secara pusingan dengan menggunakan kerbau. Siapa kata orang melayu dulu malas.........

Musim padi dulu-dulu

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak
Musim padi dulu cuma sekali setahun. Padinya cukup tinggi.Aku masih ingat pulang sekolah masa tu.Pokok padi lebih tinggi dari aku di sekolah rendah masa tu. Masa tu padi ditanam dan dipukul dalam tong sendiri. Ramailah orang-orang kelantan, Pattani dan perak datang ambil upah. Mereka akan tinggal dengan keluarga yang mengupah termasuk makan-minum. Aku juga masa sekolah menengah ambil upah atur semai dan memukul padi. Partner aku memukul ialah zali, sepupu aku. Pernah juga aku ambil upah memukul waktu malam. Kami pilih waktu malam kerana sejuk dan pada masa bulan terang. kadang bawa pelita goseline untuk terangkan kawasan. Tuan padi akan sediakan kopi dan kueh atau pulut ikan kering..
    Musim padi adalah pesta orang kampung. Tok aku ada sediakan satu tapak untuk tanam padi pulut.Padi pulut diketam sikit untuk dibuat emping. Pada malamnya berhimpunlah jiran-jiran tok aku untuk menumbuk emping. Emping tu ada yang digereng pedas dengan udang kering atau ikan bilis. Aku betul-betul rindu emping gorengan arwah tok aku. Ada juga yang dicampur dengan kelapa dan ditambah dengan misan nipah.
Cara buat emping cukup meriah. Ada satu alat tumbuk menggunakan kaki. Ada juga menggunakan lesong yang ditumbuk oleh dua orang secara berganti-ganti menggunakan alu. Suasana memang riuh rendah dengan jenaka dari golongan tua hingga kanak-kanak. Adakah suasana orang tua-tua bercampur gurau senda dengan kanak dan remaja  masa kini. Satu kehilangan budaya kita..........

Rabu, 19 Januari 2011

Hari Keputeraan Sultan

Kampung Keriang Pulau Memori Sejenak.
Sambutan hari keputeraan sultan kedah dulu meriah dengan acara sungai. Pertandingan perahu panjang masa dulu sangat ditunggu2. Perahu panjang bernama Chengai, Nagasari dan satu lagi aku lupa sangat popular. Pengayuh suka Chengal kata mereka lebih ringan.  Persiapan sebelum pesta oleh penduduk sangat meriah. Pengangkutan utama masa tu ialah jalan sungai dengan menaiki perahu atau tongkang. Tukang kayuh tongkang ambil bayaran sapa nak pergi. Ada yang percuma juga. Tongkang Hj Yaakub, tongkang pak lang mat khir dan beberapa perahu seperti perahu pak long pie, tok mat bilal, shahid, tok mat menyebai, man kak siah. Memang banyak perahu sebab masa tu ramai kerja menangkap ikan sungai untuk dijual. Aku kesempatan naik perahu. Kami keluar awal-awal supaya dapat duduk bawah jambatan. Ia sangat teduh. Kalau dengan perahu bebas bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Sambil berniaga kecil-kecilan. Kampung keriang pulau mewakili Mukim Pengkalan Kundur. Pernah juga jadi juara. Persaingan selalunya dengan mukim Sg. Baru. Pak Ad pendek adalah tekong. Pengayuh lain seperti chu arif, pak cik dahlan, ad katik, halim, mad din, man kak siah, shahid, bang cha dan ramai lagi. Seminggu selepas pertandingan masih riuh cerita kisah lumba perahu disurau atau rumah ke rumah.

Bola sepak di Stadium Tok Mat Sembilan

Waktu petang sudah ada jadual tetap main bola. Uniknya masa tu yang main termasuklah orang tua-tua umur 40 hingga 50an tahun. Masa itu aku dah sekolah menengah tapi masih dikira budak-budak.Kadang duk tepi padang jer tengak. Kalau tak der orang dia orang panggil la jadi keeper. Stadium kami tu dikenali padang tok mat sembilan. Kecil saja. Rasanya separuh padang bola. Padang sebelah rumah choh tongkang dan rumah pak ngah kadir. Bila main bola meliar kenalah para rumah dia orang, walaupun dalam hati dia orang marah tak keluarpun kata kesat. Sesama kita ingatkan kawan-kawan supaya hati-hati sikit.Tiang daripada buluh. Tidak ada had satu2 pasukan. Masuk padang tanya saja :aku belah mana: nanti adalah bagi tau belah sini atau sana. Main penuh enjoy.Kena sikit-sikit tak de marah tak der dendam. Riuh rendah ketawa masa main. Nama seperti brahim ranggoon, mail tok nab, mat shahid, mad din, pak cik dahlan memang riuh masa itu. Tak der pakaian khas. Kalau lalu pakai kain, Cawat kain masuk padang terus main..Selalunya pak cik dahlan la. Ada juga masuk liga. Aku penah ikut juga. Pernah masuk Liga Bukit Raya. Ramai-ramai naik basikal. Pernah lawan dengan kampung di Air Hitam. Pernah juga masa mudaku bawa team naik bas main di Haji Kudung, Kota Kuala Muda.

Nama dan gelaran orang kampung

Memang mana-mana kampung melayu tradisional setiap orang ada nama dan gelaran terntu. Terlebih dahulu aku mohon maaf jika ada anak cucu yang tersinggung. Tidak ada niat apa pun.Nama-nama ini adalah sinonim dengan kampung keriang pulau.Ada juga cerita-cerita menarik disebalik nama dan gelaran itu, Ada yang aku tahu ceritanya> Ada yang aku tak tahu pun.Aku ikut saja sebab dah sebati panggilan gitu. Kalau nama Mat, Saad sah ada gelaran untuk membezakan. Ada juga nama yang digabungkan dengan nama mak atau isteri. Ada juga yang tak dapat ditafsirkan maknanya. Antaranya mat tunggu, mat kacang puteh, mat spark plug, tok mat menyebai, mat poek,  ad pendek, ad ayam tua, ad katik, ad tikus, ki putaq alam tok wan donga, long kalek, non kerau, li belacan, ud susu, jefri thong, jab pekgo, pak lah kaboi, pak ali tong-tong, jasin tak heran, mail janggut, mail tokkong, din orang tua, ya donga, ya itik, din siam, choh tongkang, nab capek, harun posmen, ad orderly, choh kelam, md din bom, man kontiak,pak lang kancil,chan hindu, man dondoi, omar suaa, . Manakala nama ikut ister atau mak pula  ad gon, man chu lat, mat chut, Uniknya gelaran-gelaran di kampungku

Kumpulan Gendang

Seperti diceritakanCree dalam blognya, memang ada satu kumpulan gendang di Kg. Keriang Pulau ini.. Hampir keseluruhan ahlinya adalah dari satu keluarga iaitu keluarga Pak Chat. Ketua kumpulan ini ialah Pak Ali, anak sulung Pak Chat, Pak Ali baru saja meninggal dunia bulan Disember baru ini. Mungkinkah kumpulan gendang ini juga akan turut terkubur?.

Musim hujan

Musim hujan bagi pelajar sekolah Kg. keriang Pulau sangatlah mencabar. Ada yang berjalan kaki sajauh 700 meter. Tapi ramai berbasikal. Jalan yang becak dek tanah merah. Tambahan lagi kalau tanah merah baru diturap.Yang berbasikal akan membawa kayu buat mengcungkil tanah di pertengahan jalan kerana basikal tak boleh bergerak lagi. Kasut sekolah tak dipakai lagi. Dimasukkan dalam bungkusan plastik. Selain itu helaian kertas surat khabar lama dibawa juga. Apabila sampai di hujung jalan barulah semua berhenti berkumpul dan basuh kaki untuk memakai kasut sekolah di sebuah lubuk air.Di  lubuk ini juga tempat aku mencari ikan laga masa kecil. Sambil mencari mataku liar memerhati kalau bayang abah aku ada. Alamat nasib tak baiklah kalau dia nampak.

Isnin, 10 Januari 2011

Pengkalan mandi

   Zaman kanak-kanak dulu masa sangat ketat dengan jadual. Pagi pergi sekolah, petang pergi mengaji Quran, Masa tu ada masa rehat. Main sungguh-sungguh. Perempuannya main batu lambung atau lompat getah. Lelakinya dengan mainan toi kandang. Permainan yang uji ketahanan fizikal di mana bertujuan menyelamatkan rakan yang ditawan musuh.
    Bila cuti sekolah dan cuti panjang jadual pun berubah. Jadual wajib adalah mandi sungai. Masa tu semua budak kampung dari kecik hingga besar semua boleh berenang. Kalau lambat boleh berenang akan jadi bahan ejekan. Saat paling seronok adalah menunggu air pasang. Masa itu air sangat jernih. Ramai akan berkumpul di tebing sungai macam burung raja udang nak tangkap ikan. Mata liar memerhatikan apa yang dibawa arus air. Apa yang berkenan seperti bola pecah, patung mainan maka terjunlah ambilnya. Lepas itu naik semula ke tebing. Tunggu benda lain pula.
      Uniknya di kampung ini ada beberapa pengkalan tempat berkumpul dan mandi. Ada nama khas. Pengkalan Tok Mat Bilal, Pengkalan Shahid, Pengkalan Tok Arof, Pengkalan Chut, Pengkalan Md Khir. Untuk menampakkan meriahnya bolehlah pergi mandi bertukar-tukar pengkalan. Tak kisah pun masa ini nak mandi lelaki perempuan. Tak terfikir pulak benda-benda pelik pun masa tu.

Tok Arof

Tok Aroff

        Haji Aroff atau lebih dikenali sebagai Tok Aroff adalah tok wan aku. Hasil perkahwinan dengan Wan Mala dikurniakan Shafie, Harun, Mustaffa, Cik Bashah, Md. Noor dan Rokiah. Orangnya baik. Sangat rapat dengan anak cucu. Suka buat lawak.Cucu-cucu suka kelilingnya. Selalunya dia bagi gobek pinang. Tumbuklah sirih pinang hingga lumat.
        Tok Wan ada ajar aku buat meriam buluh. walaupun tok marah kat diqa.dia ajar juga kami teknik buat meriam buluh. Tapi sekarang rasa macam tak mahulah ajar anak-anak teknik buat meriam buluh
       Tok Wan ada anok (pengangkutan untuk tarik padi dari sawah ke daratan). Kami akan naik anok yang ditarik kerbau. Bila dah diisi padi kami ikut sampai padi diturunkan. Kemudian naik semula anok untuk ambil padi seterusnya.

Penulisan Rosemary Barnard tentang Kg. Keriang Pulau

Berikut link penulisan Rosemary Barnard

[PDF] RECENT DEVELOPMENTS IN AGRICULTURAL EMPLOYMENT IN A KEDAH RICE ...
File Format: PDF/Adobe Acrobat - Quick View
by R BARNARD
 
RICE-GROWING VILLAGE
by R BARNARD - 1981 - Cited by 3 - Related articles
employment in one village
 
[PDF] CONTENTS VOLUME I- XXXI / 1976-2006 - THE SOUTH EAST ASIAN REVIEW
File Format: PDF/Adobe
 
*nama Kg. Keriang Pulau ditukar kepada Kg. Asam Riang

Kg. Keriang Pulau dari sudut ilmiah

  Kg. Keriang pulau terletak 3 km. ke bandar Alor Star. Nadi kampung terletak 0.5 km dari jalan utama. Jalan kampung asal telah ditutup lantaran pembinaan rumah-rumah taman yang baru. Kampung tradisional ini harus disingkap kisahnya  40 - 50 tahun kebelakangan bagi menjiwai nadi jiwa kampung ini.
            Kg. Keriang Pulau pernah dijadikan kajian oleh  Dr. Rosmarry Barnard seorang pensyarah dari Australia pada pertengahan tahun 60an. Beliau kemudiannya datang semula 10 tahun kemudian untuk kajian  kedoktaran beliau. Saya berkesempatan membaca tesis beliau di Perpustakaan Universiti Malaya. Dalam lawatan beliau tahun 1979  saya berkesempatan berjumpa beliau dan mendapat beberapa kertas kerja yang beliau bentangkan di peringkat antarabangsa tentang Kg. Keriang Pulau. Penulisan beliau menukar nama Kg Keriang Pulau dengan nama Asam Riang Kajian lain secara lebih mendalam belum pernah saya temui.

Pembinaa jalan kampung

 Aku masih ingat peringkat mula jalan masuk kampung dibuat. Setipa petang jalan kampung dibuat secara bergotong royong. Aku masih ingat masa tu aku akan meniup tanduk kerbau milik tok wan aku. Kemudian sambut menyambut bunyi tanduk kerbau. Masing-masing keluar dengan membawa cangkul, cam tanah, penyakar, penyodok dan apa saja. Masa itu tak ada bantuan lori tanah merah. Tanah sawah kiri-kanan jalan dikorek dan ditambun menjadi jalan utama. suasana meriah berterusan hingga jalan siap untuk kegunaan semua orang kampung. Kalau rezeki lebih adalah orang buat bubur kacang makan dengan roti empat sagi. Beberapa tahun kemudian barulah ditambak dengan tanah merah..

Sekapur sireh

Hasrat ada untuk sambung menulis semula. Lamanya tak menulis. kerana sibuk sikit . Bila membaca blog kawan aku ianya  membawa imbauan jauh di zaman silamku di kampung. Hasrat untuk berkongsi pengalaman masa lampau dengan rakan-rakan sekampung yang sama minat, sama rasa, sama menanggung pahit manis, cerita-cerita lucu masa kanak-kanak mungkin sesuatu yang indah yang tidak dapat dirasai kenikmatannya oleh generasi hari ini. Pada rakan-rakan silalah email aku untuk bertanya khabar. Aku yang kerap balik kampung mungkin dapat juga catatkan berita-berita terkini di sini